Isu-isu berkaitan Kecekapan Tenaga(Energy Effieciency-EE)

Isu-isu berkaitan dengan kecekapan tenaga sering terpampang pada dada akhbar mahupun corong-corong radion,mari kita lihat:-



1) MALAYSIA DAN ASEAN MESTI MEMPERCEPATKAN PELAKSANAAN KECEKAPAN TENAGA BAGI MENGELAK DARIPADA MENJADI “TONG SAMPAH” PRODUK-PRODUK TIDAK CEKAP TENAGA



Pelaksanaan kecekapan tenaga (Energy Efficiency - EE) di seluruh dunia telah dihadkan oleh pelbagai faktor yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, permintaan sumber tenaga yang semakin meningkat saban tahun telah menjadi sebab paling utama yang mendorong kepada pelaksanaan kecekapan tenaga. Tambahan pula, menjadi cekap tenaga bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi tetapi menambah perspektif 'mesra alam' kepada perniagaan. Beberapa negara juga telah memperkenalkan kaedah cukai pelepasan karbon untuk tambah nilai dan mempercepatkan perkembangan bidang EE. AWER telah memilih beberapa ekonomi utama di Asia Pasifik (Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand) dan semua anggota ASEAN bagi tujuan pengumpulan dan analisa data untuk menyediakan status asas pelaksanaan EE merentasi negara-negara ini. Kajian ini adalah sebahagian daripada Projek Pembuatan dan Penggunaan Lestari (Sustainable Production and Consumption) yang ditaja oleh Suruhanjaya Tinggi British (British High Commission), Kuala Lumpur.

i)PENGUNAAN TENAGA DAN PELEPASAN KARBON
               
Penggunaan tenaga adalah berkadar secara langsung dengan pelepasan karbon dioksida (CO2). Daripada jadual ini, kita dapat lihat bahawa penggunaan tenaga dan pelepasan karbon sesebuah negara berkait rapat dengan tahap pendapatan dan status pembangunannya. Negara-negara maju dan negara-negara berpendapatan tinggi menggunakan lebih banyak tenaga dan elektrik serta menyebabkan pelepasan karbon yang lebih tinggi. Dasar dan undang-undang EE mesti dirancang dan dilaksanakan dengan teliti kerana tidak semua penyelesaian EE negara maju boleh terus digunakan sebagai 'acuan' dalam ekonomi membangun dan ekonomi kurang membangun. 

ii)KERANGKA PERUNDANGAN KECEKAPAN TENAGA
            

Negara-negara maju mempunyai kerangka undang-undang yang lebih luas melalui pelbagai dasar, undang-undang dan insentif. Brunei, Kemboja, dan Laos masih dalam usaha untuk membangunkan undang-undang yang berkaitan dengan EE. Myanmar pula tidak mempunyai undang-undang yang berkaitan dengan bidang ini. Secara tidak langsung, negara-negara membangun yang biasanya menjadi hub pembuatan (manufacturing hub) pelbagai industri dari negara-negara maju juga telah menerima pakai dasar-dasar dan undang-undang untuk meningkatkan pelaksanaan EE tempatan. Sebagai contoh, program Top Runner oleh Jepun telah menambah baik prestasi EE untuk pelbagai produk domestik di Jepun dan telah memperkenalkan produk baru kepada dunia dengan harga yang kompetitif. Ini adalah satu contoh terpilih bagaimana program tempatan mempengaruhi pasaran dunia. Negara-negara seperti Thailand, Malaysia, Vietnam dan China di mana hub pembuatan elektrik dan elektronik tertumpu juga terpengaruh daripada program sebegini. Walau bagaimanapun, ia terpulang kepada pentadbiran negara itu sendiri untuk mengikuti perubahan global seperti ini. Di Malaysia, kita masih di peringkat awal pelaksanaan EE. Percanggahan fungsi-fungsi di antara agensi-agensi kekal sebagai penghalang utama dan penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Sustainable Energy Development Authority - SEDA) telah memburukkan lagi keadaan ini.

iii)STANDARD DAN PELABELAN KECEKAPAN TENAGA
Keutamaan perlu diberikan kepada standard dan pelabelan untuk mewujudkan pencapaian EE bagi pelbagai produk, proses dan perkhidmatan. Kegagalan dalam melaksanakan kedua-dua standard dan pelabelan akan menyebabkan dakwaan yang meragukan dan mengelirukan pengguna (termasuk entiti perniagaan). Berdasarkan laporan-laporan terperinci dan kajian kes-kes yang dikaji oleh AWER, kami dapat membuat kesimpulan bahawa gabungan pelabelan secara mandatori dan sukarela (voluntary) serta dengan Piawaian Minima Prestasi Tenaga (Minimum Energy Performance Standard - MEPS) adalah penting untuk menghalang produk tidak cekap tenaga daripada memasuki pasaran. MEPS adalah tahap prestasi minimum yang ditetapkan bagi pelbagai jenis produk. Melalui piawaian mandatori ini, kemasukan produk tidak cekap tenaga ke pasaran dapat dihentikan. Hanya 8 daripada 17 negara yang telah kami kaji telah melaksanakan MEPS. Korea Selatan dan China merupakan ekonomi yang menerajui dalam pelaksanaan MEPS. Malaysia masih TIDAK MEMPUNYAI MEPS sehingga kini. Pelabelan mandatori biasanya dilaksanakan bagi peralatan dengan penggunaan tenaga yang tinggi atau untuk peralatan yang digunakan dalam kuantiti yang besar atau peralatan yang digunakan untuk satu tempoh masa yang panjang. Korea Selatan telah menerajui amalan pelabelan mandatori bagi membantu pengguna untuk memilih produk-produk yang sesuai. Secara tidak langsung, ia membolehkan pembangunan teknologi produk dan modal insan. Produk yang tertakluk kepada MEPS tetapi tidak tertakluk di bawah pelabelan mandatori boleh dibenarkan untuk menggunakan pelabelan sukarela.

2)KESEDARAN RAKYAT MALAYSIA TERHAADAP KECEKAPAN TENAGA
.
           

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bersama-sama Suruhanjaya Tenaga dan TNB sentiasa menjalankan Program Kempen Kesedaran Kecekapan Tenaga kepada semua golongan rakyat Malaysia yang meliputi pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah, orang awam dan juga untuk pihak industri. Tetapi, daripada pemerhatian sebagai penceramah saya mendapati bahawa kesedaran masyarakat Malaysia terhadap produk-produk kecekapan tenaga yang ada dalam pasaran tempatan dan mahupun dunia adalah kurang jika membandingkan negara-negara lain seperti Jepun, Korea, China, Amerika dan lain-lain. Di Malaysia, Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA telah mengiktiraf banyak produk elektronik yang menggunakan tenaga elektrik yang sedikit dalam melakukan kerja. Contohnya, televisyen, peti sejuk, kipas, penghawa dingin dan lain-lain. Kesemua barangan elektrik yang diiktiraf sebagai produk kecekapan tenaga dilabelkan dengan barisan bintang di mana 1 bintang mewakili kurang cekap tenaga hingga 5 bintang menunjukkan produk yang paling cekap tenaga. Label bintang biasanya akan dipamerkan di hadapan produk tersebut. Apabila penceramah melontarkan soalan berkaitan dengan label kecekapan tenaga ini, 92 peratus daripada para hadirin memberi jawapan tidak tahu apakah maksud label tersebut dan tidak pernah melihat sebelum ini. Ada di antara para hadirin mengaku jika hendak membeli barangan elektrik yang baru, mereka hanya memikirkan harga produk dan jenama sahaja. Mereka tidak pernah mengambil tahu tentang butiran maklumat yang tertera di produk seperti berapa Walt (W) yang digunakan, Arus (A), Voltan (V) dan sebagainya. Sebagai pengguna yang bijak, kita seharusnya mengambil tahu butiran-butiran tersebut untuk mengenal pasti produk tersebut cekap tenaga atau tidak. Oleh itu, sebelum kita membeli sesuatu produk elektronik, kita seharusnya merancang dan meneliti kegunaan produk tersebut dan memastikan produk tersebut dilabelkan dengan logo kecekapan tenaga.

3)JOM SELAMATKAN BUMI DENGAN JIMAT TENAGA.

MANILA: Kerajaan Filipina yang berdepan masalah kekurangan tenaga elektrik berikutan musim kemarau akan meminta pusat beli-belah dan kilang menutup operasi selama beberapa hari bagi memastikan bekalan tidak terganggu pada pilihan raya umum 10 Mei depan. Setiausaha Tenaga, Jose Ibazeta, berkata mesin pengimbas akan digunakan untuk kali pertama bagi mengira undi secara elektronik, tetapi sebilangan pemerhati melahirkan kebimbangan ia mungkin gagal dilakukan jika bekalan elektrik terputus. – AP


  4) PROJEK HIDRO ELEKTRIK BAKUN : PROJEK KABEL DASAR LAUT JAMIN BEKALAN ELEKTRIK CUKUP 


 KUALA LUMPUR – Penyaluran bekalan elektrik dari Projek Hidro Elektrik Bakun, Sarawak ke Semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut adalah penting bagi menjamin bekalan elektrik yang mencukupi, berdaya harap dan pada harga yang berpatutan kepada pengguna di Semenanjung. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, ia juga bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang membekalkan lebih 90 peratus daripada keperluan elektrik di Semenanjung pada masa kini. “Kebergantungan yang besar kepada bahan api fosil mendedahkan Semenanjung kepada risiko perbekalan dan harga bahan api ini selain boleh menjejaskan keselamatan bekalan elektrik bagi Semenanjung.  “Selain itu, analisis yang dilaksanakan menunjukkan bahawa kos untuk mendapatkan bekalan elektrik dari Bakun bagi tempoh jangka panjang adalah lebih rendah daripada kos mendapatkan bekalan elektrik daripada loji-loji janakuasa gas dan arang batu,” katanya. Chin menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) yang ingin tahu apakah keperluan projek itu dan antara usaha kerajaan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga elektrik.  Beliau berkata, projek bernilai hampir RM10 bilion itu dijangka siap pada 2012 dan bakal menyalurkan 1,700 megawatt bekalan elektrik ke Semenanjung. Katanya, kadar simpanan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia pada ketika ini ialah sekitar 50 peratus, Sabah 7 peratus dan Sarawak 30 peratus. “Pelbagai program kecekapan tenaga telah dan sedang dijalankan yang menyasarkan pelbagai kategori pengguna elektrik termasuklah industri yang berintensif tenaga dan pengguna-pengguna domestik.  “Antara usaha yang dijalankan ialah mengadakan kempen kesedaran iaitu Energy Month (Bulan Tenaga) untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan amalan kecekapan tenaga,” katanya.  Selain itu, katanya, kerajaan juga menawarkan pelbagai insentif seperti pengecualian cukai jualan dan duti import bagi peralatan cekap tenaga yang digunakan serta elaun cukai pelaburan bagi syarikat yang menjalankan usaha kecekapan tenaga. – Sinar

 5) CENTRE FOR EDUCATION AND TRAINING IN RENEWABLE ENERGY AND ENERGY EFFICIENCY (CETREE)

Projek ini merupakan kesinambungan Projek Centre for Education and Training for Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan dengan kerjasama DANIDA di bawah Malaysia-Danish Environmental Cooperation Programme mulai tahun 2000. Projek ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai peranan serta penggunaan tenaga yang boleh diperbaharu dan kecekapan tenaga dalam bidang pendidikan. Melalui projek ini, konsep tenaga yang boleh diperbaharu dan kecekapan tenaga dapat diterapkan dalam aktiviti kurikulum di peringkat sekolah dan universiti. CETREE telah bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia menganjurkan tiga (3) pertandingan berkaitan tenaga diperbaharu dan kecekapan tenaga, iaitu kereta suria (Solar Car), memasak dengan dapur suria (cooking with nature) rumah cekap tenaga tepi pantai (RE & EE Beach House). Selain tiga (3) pertandingan tersebut, permainan dalaman (indoor games) turut dianjurkan bersama-sama dengan pameran dalaman yang julung kalinya dilaksanakan oleh CETREE. Pameran utama CETREE iaitu van tenaga oleh unit pameran bergerak turut diadakan. CETREE juga mengadakan kempen mengenai kecekapan tenaga menerusi akhbar tempatan. Informasi yang diterbitkan ialah mengenai pemilihan peralatan cekap tenaga yang menjimatkan seperti peti sejuk, penyaman udara, seterika, cerek elektrik dan lampu. Pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dari seluruh negara juga turut mengadakan lawatan sambil belajar ke CETREE. Setakat ini, bilangan pelajar yang telah melawat CETREE ialah 8,260 dan bilangan guru dan pensyarah ialah 1,714 orang. Bilangan orang awam pula ialah seramai 14,109. CETREE kini menyediakan laman web interaktif untuk menyebarkan informasi berkaitan Kecekapan Tenaga (KT) dan Tenaga Diperbaharui (TD).

 

Comments

Popular Posts