Berita mengenai Kecekapan Tenaga


TNB, UTM Bekerjasama Dalam Bidang Kecekapan Tenaga Dan Tenaga Boleh Diperbaharui
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi kerjasama khusus dalam bidang Kecekapan Tenaga (EE) dan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE).

MoU itu yang dimeterai oleh anak syarikat TNB, TNB Energy Services Sdn Bhd adalah bertujuan untuk memberi manfaat kepada UTM dalam mengoptimumkan kos tenaga elektrik dan menjana tenaga elektrik sendiri.

Antara potensi projek yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan, dinilai dan ditawarkan adalah pemasangan sistem tenaga boleh diperbaharui dan unit penghawa dingin cekap tenaga untuk Masjid Sultan Ismail UTM, demikian menurut TNB dan UTM dalam satu kenyataan bersama, Ahad.

Projek lain ialah pembangunan dan pemasangan Sistem Penjanaan Kuasa Mini Hidro 'Off-Grid' di Empangan Jernih dan/atau Tasik Ilmu di UTM untuk tujuan pendidikan dan kerjasama pendidikan dan penyelidikan dalam membangunkan kampus UTM Johor Bahru sebagai makmal hidup (Living Lab) dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

MoU itu berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun dan akan menjadi pemangkin bagi kemajuan dan aktiviti penyelidikan berkaitan tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga elektrik UTM.

Pada masa yang sama, ia turut menjadikan kampus UTM sebagai makmal hidup melalui program aktiviti penyelidikan termaju untuk melahirkan lebih ramai penyelidik dan tenaga pakar tempatan, kata kenyataan itu.

Comments

Popular Posts